PENAHANAN PEGAWAI SPRM, "SEGALA-GALANYA TELAH DILAKUKAN MENGIKUT SOP" - ZAHID

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan tiada sebarang tindakan lanjut terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diambil keterangan berhubung kebocoran kertas draf pertuduhan ke atas SRC International. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan yang diambil pihak polis ketika ini hanyalah mengambil keterangan dan jika ada penahanan dilakukan, ia hanya membabitkan prosedur operasi standard (SOP) siasatan polis. 

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, siasatan mengenai perkara tersebut bukan hanya tertumpu kepada SPRM sahaja bahkan ia mungkin juga membabitkan pelbagai agensi lain. 

“Kita tidak mahu sebarang hasil penyiasatan (dibocorkan) sebelum ada kesimpulan,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Menteri Luar Bangladesh, Abul Hassan Mahmood Ali. 

“Segala-galanya telah dilakukan secara tertib mengikut SOP. Polis tidak pula menyasarkan mana-mana agensi atau pegawai secara khusus,” tegas Ahmad Zahid. 

Pada Khamis, Bukit Aman turut menafikan cuma menyasarkan SPRM dan penglibatan ‘tangan ghaib’ dalam siasatan pihak polis terhadap kes kebocoran maklumat oleh pegawai suruhanjaya tersebut. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, fokus pihaknya adalah berkaitan dakwaan kebocoran maklumat yang melanggar satu seksyen mengikut Akta Institusi Kewangan dan Perbankan (BAFIA). 

“SPRM boleh dan akan meneruskan siasatan mereka. Kami tidak ganggu siasatan yang mereka jalankan,” katanya selepas menerima lawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Anak Kujat. 

Noor Rashid mengulas penahanan beberapa pegawai SPRM dan serbuan di pejabat suruhanjaya berkenaan sejak minggu lalu susulan ada kebocoran draf kertas pertuduhan yang menyalahi peraturan kerahsiaan di bawah BAFIA. 

Beliau berkata, polis bukan sahaja menyiasat kebocoran maklumat berkaitan draf terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi juga maklumat berkaitan data perbankan yang menyalahi BAFIA. 

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan mengikut fakta dan jika ia memberi petunjuk kepada Bank Negara Malaysia atau pihak bank berkaitan, pihaknya akan menyiasat pihak berkenaan juga. KREDIT

Post a Comment