PENDAKWAH BEBAS CERITA KEADAAN SEBENAR SEMASA REMPUHAN DI MINA


KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah berkata kejadian rempuhan yang berlaku di Mina semalam adalah disebabkan tindakan jemaah haji itu sendiri.

Ujarnya lagi kejadian yang meragut lebih 700 nyawa itu tidak ada kena mengena dengan kelemahan kawalan keselamatan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Keadaan jalan pada ketika itu cukup sesak dan apabila berlakunya pertembungan berkenaan maka terdapat jemaah yang tidak dapat tahan dan merempuh penghadang jalan dan menyebabkan berlakunya kejadian berkenaan.

“Kejadian tersebut sama seperti yang berlaku pada tahun 1990-an dahulu dan pihak keselamatan juga telah mengawal dengan sebaik mungkin dan adalah tidak wajar untuk menyalahkan mereka,” katanya sebagaimana memetik The Rakyat Post.

Beliau berkata berdasarkan rakaman video jelas jemaah haji merempuh penghadang yang terletak di tepi jalan.

Tragedi itu berlaku apabila sejumlah besar jemaah berasak-asak di Jalan 204, di pusat perkhemahan Mina yang merupakan satu daripada dua jalan utama menuju ke kawasan melontar jamrah yang terletak beberapa kilometer ke timur Makkah, di mana jemaah lazimnya menginap beberapa hari sebelum kemuncak musim haji.

Kejadian itu juga dikatakan berlaku disebabkan terdapat jemaah haji yang tergesa-gesa untuk menyelesaikan melontar dan pulang ke khemah penginapan masing-masing. - SUMBER

Post a Comment