FOTO BAYI MENINGGAL DUNIA DIDAKWA BERPUNCA DARI JEREBU TERSEBAR

BERITA seorang bayi perempuan yang meninggal dunia dipercayai berpunca ekoran fenomena jerebu teruk yang berpanjangan melanda di Jambi, wilayah Sumatra, kini menjadi bualan hangat di Indonesia.
Perkara itu tersebar selepas didedahkan sendiri oleh ibu bayi malang itu, Rhia Moorlife Jambi yang memuat naik gambar arwah anaknya berserta kapsyen menyentuh hati menerusi laman Facebooknya sekali gus menjadi viral di media sosial.

“Cukup anak hamba ya allah yang jadi korban akibat asap yang tidak kunjung berhenti, jangan lagi ada korban yang lain. Sesak napas, batuk, pilek akibat kabut asap dari orang-orang yang tidak bertanggungjawab,” tulisnya pada Khamis lalu (1/10/2015).

Namun, status yang dimuat naik oleh Rhia itu kemudian dipadam selepas dua jam dan kini akaun Facebook tersebut turut ditutup.

Memetik laporan portal JambiUpdate.com, mangsa yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Nabila dari Pasir Putih, Kota Jambi yang berusia 1 tahun 2 bulan.

Sementara itu, Datuk Bandar, Imam Syafei dalam satu kenyataan berkata, setakat ini pihak berkuasa masih belum mengenal pasti punca kematian bayi berkenaan sama ada berkaitan dengan jerebu atau tidak.

“Sekarang belum boleh dipastikan. Saya sudah minta laporan perubatan dari doktor yang merawat mangsa bagi memastikan penyakitnya.

“Jadi, kami belum dapat memastikan penyakitnya,” ujarnya. – Agensi/MYNEWSHUB.CC

Post a Comment