TUN MAHATHIR KONGSI STRATEGI JATUHKAN NAJIB

KUALA LUMPUR: Setelah berkali-kali memberi tekanan supaya Perdana Menteri, Najib Razak meletak jawatan, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kali ini berkongsi strategi bagi memastikan matlamat beliau menjadi kenyataan.

Mahathir berkata matlamat tersebut hanya boleh dicapai jika ia dimulakan di peringkat kerusi Parlimen Pekan yang diwakili oleh Najib.

"Walaupun dia tak mahu undur, kalau datang pilihan raya, jangan undi. Di (Parlimen) Pekan jangan undi (Najib). Bagi kalah Najib, tapi jangan bagi kalah Umno.

"Kalau orang Melayu bijak, tentukan Najib kalah di Pekan. Kalau kita berpakat sesama kita, pergi ke Pekan beritahu kepada orang sana bagi dia kalah tapi, bagi Umno menang.

"Kita jangan terbawa dengan emosi, kena rancang dengan strategi dan strategi kita ialah untuk mengalahkan Najib," kata beliau memetik laporan dari mStar Online.

Dr. Mahathir berkata sedemikian ketika berucap di Majlis Hi-Tea bicara politik "Kembalikan Maruah Perjuangan Bangsa" anjuran Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan.

Dr Mahathir juga turut menasihati orang Melayu mencontohi masyarakat Cina yang lebih memetingkan bangsa mereka dahulu dari fahaman politik.

"Kita orang Melayu tak berapa bijak. Kita patuh dengan tidak memikir tentang kepentingan kita.

"Saya lihat orang Cina walaupun dia MCA atau DAP, tapi kalau kepentingan Cina terancam, mereka lupakan parti mereka.

"Tapi orang Melayu tak begitu. Inilah yang menjadi masalah. Sekarang ini ramai dah keluar daripada Umno walaupun tak secara rasmi, tapi mereka tak menyokong Umno.

"Kalau mereka mengalahkan Umno, kita akan rugi. Yang nak dikalahkan hanya Najib sahaja. Umno tak salah," kata beliau.

Tambah Dr Mahathir lagi, beliau sememangnya berniat untuk menghasut supaya Najib meletak jawatan.

"Saya datang memang nak hasut semua orang.

"Dalam perjuangan perlu ambil risiko, kalau tak berani macam mana nak berubah, macam mana nak tebus maruah kita," katanya. - SUMBER

Post a Comment