SERDANG – Bukan sahaja beg tangannya direntap dan dilarikan, seorang wanita turut dipukul dengan batang besi oleh dua peragut menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi kelmarin di Jalan Bandar Kinrara 2 itu, mangsa warga Indonesia berusia lingkungan 30-an dikatakan berjalan kaki untuk ke tempat kerjanya.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, tiba-tiba datang dua lelaki menunggang sebuah motosikal terus memukul belakang badan mangsa tiga kali menggunakan batang besi.
Beliau berkata, selepas merampas beg tangan mangsa, kedua-dua suspek terus melarikan diri.
Menurutnya, hentakan kuat menyebabkan belakang badan mangsa bengkak, kepalanya berdarah dan terpaksa menerima enam jahitan.
“Bahagian muka mangsa juga lebam dan dia mengadu sakit kaki akibat terjatuh atas jalan raya,” katanya.
Katanya, mangsa kerugian sejumlah wang tunai, telefon bimbit dan pasport antarabangsa.
Razimi berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan kedua-dua suspek terbabit.
Katanya, orang ramai tidak perlu terlalu risau dengan kejadian itu berikutan rondaan pencegahan akan dipertingkatkan.
“Kepada masyarakat, saya nasihatkan lebih berhati-hati pada musim perayaan, jangan berjalan bersendirian sebaliknya berjalan secara berkumpulan,” katanya.Sumber
Post a Comment