
KUALA LUMPUR - Rancangan Tan Sri Muhammad Shafee Abullah menjelajah seluruh negara untuk mendedahkan kes liwat 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat bantahan dari pemimpin kerajaan persekutuan selain dari pemimpin pembangkang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nancy Shukri mencadangkan agar Shafee membatalkan saja hasratnya itu. Sebaliknya mengadakan perdebatan terbuka dengan salah seorang pengkritik utamanya iaitu Majlis Peguam.
Nancy secara peribadinya tidak bersetuju dengan cadangan Shafee untuk menyertai jelajah pendedahan kes liwat 2 Anwar Ibrahim seperti yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan pada satu forum yang diadakan pada Selasa yang lalu.
“Biar orang ramai dengar mereka (berdebat). Lakukan sekali dan cukuplah. Kemudian Shafee tidak perlu pergi ke sana sini lagi.
“Saya lebih setuju kita (kerajaan persekutuan) tidak perlu lakukannya lebih-lebih sangat. Nampak tak elok (untuk imej kerajaan dan Shafee).”
Tambahnya lagi, tindakan Shafee menyertai program itu hanya akan mendatangkan kesan buruk serta mewujudkan rasa simpati orang ramai terhadap Anwar Ibrahim
Mengulas mengenai perkara yang sama, bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga berkata, tidak pernah terjadi seorang pendakwaraya menyerang tertuduh selepas mahkamah selesai menjatuhkan hukuman.
Tindakan Shafee itu dilihat berniat jahat dan tidak wajar dilakukan kerana Anwar kini berada di penjara serta tidak dapat mempertahankan diri.
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengatakan program jelajah berkenaan akan membahayakan masa depan negara sementara Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata ia satu cubaan terdesak UMNO/BN untuk memenangi kepercayaan rakyat.
Menurut Nancy, Shafee enggan melakukannya dan kerajaan tidak pernah meminta beliau mendedahkan kes berkenaan. Namun atas permintaan daripada badan bukan kerajaan (NGO), Shafee terpaksa akur.
“Rakyat mahu dengar fakta kes daripadanya. Mereka tidak boleh membaca penghakiman itu sebab ia terlalu panjang.”
Rakyat juga tidak dapat mengetahui fakta yang sebenar dengan membaca apa yang tertulis di media sosial, terutama yang ditulis golongan pro pembangkang.
Nancy juga berkata, kerajaan berada di kedudukan yang sukar kerana ia sesuatu yang di luar kawalan sekiranya NGO mahu Shafee berucap.
“Kita (kerajaan) tak boleh halang dia. Dia bertanggungjawab memberitahu rakyat apa sebenarnya terjadi. Selama ini, orang meraguinya kerana apa yang dilakukannya.
“Dia pun dalam keadaan yang sukar – nak buat atau tidak.”Kredit
Post a Comment