Impian Amy untuk membuka sekolah Tahfiz akhirnya terlaksana.
PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Search iaitu Amy tidak akan meninggalkan bidang seni selepas membuka sebuah sekolah Tahfiz, Al-Bayan School Of Quran & Hadith di Sungai Buloh pada awal tahun lalu.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 57, sebaliknya berkata, pembukaan sekolah berkenaan adalah sebagai persiapan untuk masa hadapan selain sebagai bekalan amalannya di dunia dan akhirat.
"Apa yang saya lakukan ini (membuka sekolah Tahfiz) mengikut apa yang termampu dalam mengimbangkan bekalan amalan saya di dunia dan akhirat.
"Pun begitu saya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk bersara daripada industri muzik kerana itu semua ditentukan oleh Allah," katanya kepada mStar Online.
Amy bersama pelajar di Al-Bayan School of Quran & Hadith menikmati makanan tengah hari.
Al-Bayan School of Quran & Hadith adalah sebuah sekolah yang mengkhususkan pelajar dari kalangan kanak-kanak yang berumur 7 tahun hingga 15 tahun.
Mereka diajar untuk menghafal Al-Quran, Hadis, Bahasa Arab selain mengajar pelajaran asas seperti Bahasa Inggeris dan matematik.
Dalam pada itu, Amy menjelaskan sekolah tersebut dibuka secara kecil-kecilan bersama seorang kenalannya dan ia menempatkan seramai 15 orang pelajar tahfiz.
"Sekolah Tahfiz tersebut dibuka oleh saya bersama dengan seorang rakan yang terletak di Sungai Buloh.
"Kini kami mempunyai seramai 15 orang pelajar dan itu sudah mencukupi kerana tempat tersebut tidak dapat menampung jumlah bilangan pelajar yang ramai.
"Pada masa sekarang biar saya fokus dulu dengan apa yang ada kerana bila semua berjalan dengan lancar kita akan tambahkan lagi tahfiz yang lebih besar pada masa hadapan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Amy menjelaskan dia kini sedang sibuk untuk menyiapkan album sendiri terbaru yang bakal dilancarkan pada Ogos tahun ini. — mStar online
Post a Comment