PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan ganti rugi RM318,326 yang diberi Mahkamah Tinggi kepada seorang suri rumah yang cedera setelah ditembak polis pada 2009.
Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim berkata mahkamah berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam dapatannya berkaitan fakta dan undang-undang dalam memberi ganti rugi kepada Norizan Salleh.
"Kami dapati tiada sebab untuk mengganggu dapatan Mahkamah Tinggi berkaitan liabiliti dan ganti rugi," katanya dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan polis dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Hakim Abang Iskandar yang bersidang dalam panel itu bersama Hakim-Hakim P. Nallini dan Dr Prasad Sandosham Abraham, juga memerintahkan polis dan kerajaan membayar kos perundangan RM10,000 kepada Norizan.
Pada 4 Sept tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng membenarkan saman sivil Norizan, 35, ibu dua anak, terhadap polis dan kerajaan dan memberi beliau pampasan RM50,000 bagi kesakitan dan penderitaan; RM50,000 bagi serangan dan kecederaan; RM18,326 sebagai ganti rugi khas dan RM200,000 sebagai ganti rugi teladan. - BERNAMA
Post a Comment