KUALA LUMPUR – Polis berjaya membongkar
sebuah makmal memproses dadah dan merampas bahan haram itu bernilai
kira-kira RM10 juta dalam tujuh serbuan di empat lokasi di Lembah Klang
pada Jumaat dan Sabtu lepas.
Lapan orang disyaki anggota sindiket dadah terdiri daripada lima
rakyat tempatan termasuk seorang wanita, dua lelaki warga Sri Lanka dan
seorang lelaki warga India, berumur antara 29 dan 43 tahun diberkas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk
Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff memberikan maklumat tersebut pada sidang
media di sini hari ini.Mohd Mokhtar berkata kejayaan itu hasil daripada risikan dan siasatan
rapi pasukannya bersama Pasukan Khas Special Tactical Intelligence
Narcotics Group (STING).
Mereka melakukan tujuh serbuan melibatkan empat lokasi meliputi
Wangsa Maju, Damansara, Seri Kembangan dan Sepang mulai 22 Mei (Jumaat)
pukul 11.20 pagi hingga 23 Mei (Sabtu) pukul 5.30 petang.
“Hasil serbuan itu, polis membongkar sebuah rumah yang dijadikan
makmal haram memproses dadah sintetik dan stor penyimpanan bahan kimia
di Sepang dan menahan dua lelaki warga tempatan.
“Jumlah keseluruhan dadah dirampas sebanyak 40.36 kilogram (kg) iaitu
disyaki syabu 34.76kg, pil ekstasi (5.6kg) dan sejumlah bahan kimia dan
peralatan memproses dadah, yang kesemuanya bernilai RM10 juta,” katanya
Beliau berkata turut disita sebuah kenderaan BMW 3 Series dianggar
bernilai RM40,000, wang tunai RM100,550 dan barang kemas bernilai
kira-kira RM55,000.
Katanya pihaknya tidak menolak kemungkinan ada ahli kimia terlibat
bagi mengajar ahli sindiket cara memproses dadah bagi pasaran tempatan
dan Indonesia.
Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari
sehingga Jumaat ini di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan berkaitan, bagi rampasan dadah dari Januari
sehingga 21 Mei tahun ini, Mohd Mokhtar berkata keseluruhan nilai
rampasan sebanyak RM95.6 juta iaitu syabu (506kg), ketamin (29.4kg), pil
ekstasi (352,871 biji), pil yaba (128,355 biji) dan pil Eramin 5
(1,504,765 biji).
“Sementara jumlah tangkapan dalam tempoh sama sebanyak 71,648 orang
dengan sejumlah 24,256 yang terlibat dalam membekal dan memiliki dadah
dan 47,392 orang positif dadah,” katanya. – BERNAMA
Post a Comment