Sekitar hujung tahun 2008, dunia arkeologi digemparkan dengan penemuan baru. Penemuan yang tidak masuk dek akal, jam tangan Swiss!
Lokasi penemuan barang antik itu terletak di Shangsi, Selatan China. Lebih memeranjatkan, ia ditemui di dalam makam Si Qing, berusia lebih 400 tahun, yang wujud pada zaman Dinasti Ming.
Dinasti Ming merupakan pemerintah ke tujuh yang mentadbir China bermula pada tahun 1368 sehingga 1644.
Kisah ini bermula apabila sekumpulan arkeologi mendakwa telah menemui khazanah ini ketika membersihkan tanah di sekitar makam tersebut. Menurut seorang kurator Muzium Guangxi, Jiang Yanhu, mereka secara tidak sengaja mendengar bunyi logam jatuh sewaktu melakukan pembersihan.
Pada mulanya, objek tersebut dianggap bukan logam kerana keadaannya yang diselaputi batu dan lumpur. Namun, selepas diamati dengan jelas, rupanya objek itu sebenarnya sebuah jam tangan.
Bentuk jam tangan itu juga agak pelik. Saiznya jauh lebih kecil berbanding jam tangan biasa. Ianya sangat kecil sehingga menyerupai sebentuk cincin. Ketebalannya dianggarkan berukuran dua milimeter dan pada jam tersebut terdapat jarum yang menunjukkan ia berhenti pada pukul 10.06 minit. Menambahkan misteri penemuan itu, mereka menemui tulisan 'Swiss' terukir pada bahagian belakang jam.
Penularan cerita mengenai jam tangan ini menimbulkan keraguan dan tanda-tanya kepada umum. Antara persoalan yang sering diajukan ialah bagaimana boleh wujud jam tangan ketika zaman purba dan siapa yang menciptanya?
Pakar tempatan sendiri tidak dapat menjelaskan penemuan membingungkan itu.
Para arkeologi membuat kesimpulan tentang situasi ini. Mereka menyatakan bahawa jam tangan masih belum wujud pada masa itu. Tambahan pula, perkataan 'Swiss' itu sendiri memberi seribu satu pertanyaan kerana Switzerland belum lagi tertubuh sebagai sebuah negara ketika kemunculan zaman Dinasti Ming.
Dan jika difikirkan mengenai faktor lain seperti kebarangkalian ia barang tercicir milik individu atau sengaja diletakkan, ia juga sesuatu yang sangat mustahil. Mereka percaya makan tersebut belum pernah ditemui, apatah lagi digali sejak ia mula-mula ditanam.
Walau bagaimanapun, pada tahun 1541 di Geneva, dikatakan muncul undang-undang yang menyatakan tentang larangan terhadap barang kemas. Jadi, kewujudan peraturan ini sedikit sebanyak memberi petanda tentang kemungkinan jam tangan telah dicipta pada waktu itu.
Namun begitu, cerita mengenai penggunaan jam tangan berupa cincin di Eropah pada ketika itu masih tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Apa yang pasti, kisah jam tangan Swiss masih kekal misteri dan lokasi penyimpanannya terus dirahsiakan sehingga ke hari ini.sumber
Post a Comment