NAJIB DIMALUKAN PEGAWAI SENDIRI

Program Dialog PM Bersama NGO semalam dilaporkan telah digagalkan oleh pembantu Perdana Menteri itu sendiri, dakwa penganjur, SukaGuam.

Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pegawai Perdana Menteri itu 'overreact' menghalang Najib bersemuka dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ketika Najib dalam perjalanan dan dinasihati Ketua Polis Negara mengenai situasi di PWTC, kami berpendapat Perdana Menteri perlu hadir bagi membuktikan beliau berjiwa besar dan bersedia bertemu Tun Dr Mahathir, sambil berbual mengenai apa jua perkara.

"Kami yakin jika pun program itu ditunda atas nasihat polis, pertemuan perlu diteruskan antara Najib dan Dr Mahathir dalam bilik tertutup kerana ini akan membuka lembaran baru dalam konteks politik Malaysia sekaligus meredakan hati penyokong masing-masing," katanya.

Malangnya, pegawai berkenaan berusaha menghalang kehadiran Najib dengan memaklumkan maklumat yang tidak tepat iaitu menangguk di air keruh dengan menokok-nambahkan cerita.

Pegawai terbabit juga mendakwa Najib akan diejek sekiranya berkeras hadir ke dialog berkenaan.

"Penganjur akur dengan arahan polis supaya program ditangguhkan atas sebab keselamatan, namun alang-alang Dr Mahathir sudah bersedia untuk bertemu Najib, ia tidak sewajarnya dihalang. Isu keselamatan tidak timbul sama sekali jika mereka bertemu dalam bilik yang tertutup," katanya.

Khairul juga berkata, berdasarkan insiden semalam, ada benarnya pandangan sesetengah pemimpin, pihak yang merosakkan imej Najib bukanlah orang luar, sebaliknya di kalangan orang dalam sendiri. - THEHYPEMEDIA

Post a Comment