PENIAGA TERKEJUT CAJ BIL AIR RM 421,270.35????

SEORANG peniaga barangan elektrik terkejut selepas menerima caj penggunaan bil air bagi bulan Mei untuk premis kedai yang disewanya itu mencecah lebih RM400,000.

Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 54, menyewa premis di Pusat Bandar Bagan Serai, Perak, itu terkejut selepas terima bil air itu minggu lalu.

Jumlah caj yang tertera dalam bil itu adalah RM421,270.35 dan keseluruhan caj penggunaan bil air itu termasuk caj Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM18,782.75.

“Jumlah caj yang tertera pada bil air itu mengejutkan saya memandangkan premis yang disewa selama enam tahun itu hanya dicaj penggunaan bil air tidak melebihi RM30 sebulan.

“Bimbang disalah anggap pemilik kedai, saya segera memaklumkan kejadian itu kepadanya dan memintanya melakukan semakan semula dengan pihak Lembaga Air Perak (LAP) bagi mendapatkan pengesahan sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.

Pemilik premis tersebut juga terkejut dengan jumlah caj tertera dalam bil itu dan segera merujuk kepada pengurusan LAP Cawangan Parit Buntar dan mendapati ada kesilapan teknikal semasa bil itu dicetak.

“Setelah jumlah caj penggunaan sebenar bil air dibetulkan semula, pemilik premis lega apabila caj yang dikenakan hanya sebanyak RM25.13 termasuk caj GST.

“Saya dan pemilik premis berterima kasih kepada pengurusan LAP cawangan Parit Buntar kerana mengambil tindakan pantas memperbetulkan jumlah caj penggunaan bil air premis berkenaan.

“Pada masa sama, saya berharap masalah ini tidak akan berulang pada masa hadapan,” tambahnya.SumberMYNEWSHUB.CC

Post a Comment