JARI TERSEPIT KETIKA BAIKI ENJIN KERETA

Anggota Bomba dan Penyelamat Bachok berusaha untuk mengeluarkan jari mangsa yang tersepit dalam enjin kereta, hari ini. - Foto Sinar Harian

BACHOK – Seorang mekanik di Kelantan mengalami kecederaan pada bahagian jarinya ketika dia sedang membaiki enjin sebuah kereta di Kampung Baru Hujung Repek, petang Khamis.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, ketika pihaknya tiba di bengkel itu, mangsa, Razali Mat Zin, 32, masih lagi didapati sedang mengerang kesakitan.

Siasatan awal menunjukkan jari kelingking kanan mangsa tersepit pada bahagian tapak enjin kereta model Perodua Kancil yang sedang diselenggara di bengkel kenderaan berkenaan.

“Kami menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 4.12 petang dan tiba sejurus kemudian. Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan 1, Ahmed Mazdan Jusoh bersama tujuh orang anggota.

“Ketika pasukan bomba tiba jari mangsa telah bengkak. Jari mangsa dapat dikeluarkan dalam masa sejam dengan menggunakan pemotong hidraulik,”katanya kepada pemberita.

Kasyfi berkata, masa yang diambil agak lama kerana pihak bomba perlu untuk meminimumkan tahap kerosakan pada bahagian enjin kereta tersebut.

Menurutnya, mangsa bernasib baik hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. – Sinar Harian

Post a Comment