PUNCA KEJATUHAN SAHAM AIRASIA KEPADA NILAI 5 TAHUN YANG TERENDAH....

HARGA saham AirAsia Berhad (AirAsia) jatuh hampir 30 peratus, paras terendah dalam tempoh lima tahun susulan pendedahan memeranjatkan oleh sebuah firma penyelidikan tidak terkenal dari luar negara, GMT Research.

Firma itu baru-baru ini mengeluarkan analisis yang dilaporkan telah berjaya ‘menakutkan’ ramai pemegang saham syarikat penerbangan kos rendah itu dan menyebabkan mereka mula mengambil langkah lebih berhati-hati.

Satu rakaman video yang disertakan dalam laporan itu mendedahkan bagaimana AirAsia berjaya mengumpulkan keuntungan berlipat kali ganda daripada dua anak syarikatnya yang berprestasi rendah di Indonesia dan Filipina.

Caranya amat mudah: manipulasi maklumat akaun!

Padahnya bukan sahaja harga saham AirAsia merundum akibat hilang kepercayaan pelabur, malah modal pasarannya turut susut teruk kepada AS$1.23 bilion (RM5.06 bilion).

Setakat 19 Ogos lalu, harga saham AirAsia di kaunter urus niaga dagangan harian Bursa Malaysia mendapat reaksi pasaran yang cukup negatif sehingga ditutup begitu rendah iaitu kepada RM1.09 sahaja.

Lebih dahsyat, menurut data diterbitkan dalam laporan agensi berita antarabangsa Reuters, jumlah hutang hasil pinjaman AirAsia daripada syarikat subsidiarinya juga meningkat kepada RM2.3 billion (AS$615 juta) pada 2014.

Ia satu nilai yang cukup mengejutkan banyak pihak berbanding hanya RM559 juta dicatatkan pada 2013 dan RM253 juta pada tahun 2009.

Misteri peningkatan jumlah hutang yang masih belum dijelaskan itu ternyata telah mendatangkan sentimen kerisauan kepada ramai penganalisis industri penerbangan antarabangsa sendiri.

Bagaimanakah Tony Fernandes berhasrat membawa AirAsia keluar daripada posisinya sebagai entiti bisnes margin rendah dan kompetitif berbanding syarikat udara kos rendah lain seperti Jetstar Australia dan Lion Air Indonesia, masih samar-samar.

“Cabaran yang paling sukar adalah adakah mereka dapat melaksanakan penjanaan dana itu? Selagi AirAsia belum buat apa-apa pengumuman, nilai saham mereka akan terus lemah,” menurut penganalisis DBS Research, Kee Hoong Tan.

Kebetulan pada 31 Julai iaitu 30 hari selepas harga sahamnya mula menjunam teruk, AirAsia telah mengemukakan surat bagi mendapatkan tuntutan sebanyak RM409 juta daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Ia didakwa untuk menebus ganti rugi yang kononnya disebabkan oleh pemindahan operasi ke KLIA2 dan di LCCT, namun CEO MAHB, Badlisham Ghazali telah membidas balik kenyataan AirAsia sebagai ‘tidak berasas’.

Sementara itu, pemerhati industri penerbangan berpengalaman telah mencapai kata sepakat bahawa pemegang saham utama AirAsia sedang mencari jalan penyelesaian kepada masalah syarikat itu dengan cara yang lebih kreatif. – MYNEWSHUB.CC

Post a Comment