PRESIDEN GERAKAN MAHASISWA UKM CEDERA DISERANG DALAM KAMPUS!!

KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Shahir Rahimi mengalami kecederaan parah akibat diserang dalam kawasan kampusnya awal pagi ini.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Tan Kar Hing berkata, pelajar itu yang juga aktivis pembangkang mengalami kecederaan teruk akibat ditoreh pada bahagian kepala dan badan serta dilempar cat.

Beliau mengesyaki serangan itu berkait dengan pilihan raya kampus UKM yang sedang berlangsung kerana tiada kehilangan harta benda berlaku dalam kejadian itu sebaliknya kereta yang digunakan Shahir turut disimbah cat.

“Beliau cedera parah akibat menerima lima torehan di bahagian kepala dan badan serta dilempar cat pewarna. Kes ini berlaku di dalam kawasan kampus UKM iaitu berdekatan kolej kediaman pada subuh 14 September 2015.

“AMK mendesak pihak berkuasa universiti dan polis memberi penjelasan serta menjalankan penyiasatan serta-merta bagi mengenal pasti pihak penyerang dan menghadapkannya ke muka pengadilan. Tiada sebarang toleransi dalam isu budaya kekerasan dalam kampus,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kar Hing mendakwa, serangan yang dipercayai bermotifkan ugutan itu berlaku sewaktu Shahir bertugas secara bergilir untuk menjaga poster-poster kempen pilihan raya di dalam kampus bagi memastikan ia tidak disabotaj.

“Kalau tahun 2014 kedengaran kes cermin kereta pengerusi kumpulan Pro-Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dipecahkan oleh penyerang, tahun ini pula kes kekerasan semakin berleluasa dan menggugat keselamatan dan nyawa mahasiswa,” katanya.

Beliau turut mendakwa, aktivis mahasiswa dan calon pro-mahasiswa sering menjadi mangsa penindasan dan serangan menjelang musim pilihan raya kampus.

“Ini merupakan tamparan kepada demokrasi kampus serta menunjukkan bahawa pihak berkuasa gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan pilihan raya kampus dijalankan dalam keadaan adil dan telus,” dakwanya.Sumber – Mynewshub.cc

Post a Comment