TM RUGI RM 233,800 ANGKARA PENCURI

MELAKA – Telekom Malaysia Berhad (TM) mengalami kerugian sebanyak RM233,800 akibat kecurian kabel di negeri ini dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, kata Pengurus Besar TM Melaka Rozlan Mohamed.

Beliau berharap jumlah itu tidak meningkat menjelang hujung tahun ini, dan TM Melaka sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya polis bagi membanteras kes kecurian kabel.

“Melaka mencatat jumlah terendah dari segi kes melibatkan kecurian kabel, namun kami tetap meningkatkan usaha membanteras kejadian ini.

“Antara usaha dilakukan ialah menggantikan kabel logam kepada fiber dan pemasangan peranti sistem penggera amaran kecurian kabel I-Watch,” katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan TM Melaka kepada anggota polis sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontingen Melaka, di sini hari ini.

Majlis penghargaan itu diberikan kepada 16 anggota polis yang terlibat dalam usaha membanteras kecurian kabel di negeri ini. Turut hadir Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye.

Rozlan berkata sepanjang tahun lepas, TM mengalami kerugian berjumlah RM243,000 akibat kecurian kabel di negeri ini.

Sementara itu, Chuah berkata Polis Melaka akan terus bekerjasama dengan TM Melaka dalam usaha membanteras kecurian kabel di negeri berkenaan.

“Walaupun Melaka mencatat kes kecurian yang rendah berbanding negeri lain, usaha berterusan perlu dilakukan bagi mengekang kes ini daripada berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam mana-mana perhimpunan haram yang dianjurkan di negeri ini.

Katanya tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan serta penganjur yang ingkar, mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012. – BERNAMA

Post a Comment