JURUTERBANG TERTUMPAH KOPI HAMPIR MENYEBABKAN PESAWAT PRESIDEN TERHEMPAS

BEOGRAD — Pasukan penyiasat Serbia pada Selasa memutuskan, insiden sebuah pesawat rasmi presiden negara Balkan itu hampir terhempas Jumaat lalu bukan disebabkan masalah sabotaj musuh, cuaca buruk atau teknikal.

Sebaliknya peristiwa tersebut yang nyaris mengorbankan pemimpin Serbia, Tomislav Nikolic akibat pembantu juruterbang secara tidak sengaja tertumpah air kopi ke atas panel instrumen kokpit pesawat jenis Falcon 50 itu.

Hasil siasatan mendapati, penolong kapten tersebut turut tertekan butang pengaktifan panel salah satu bahagian pesawat yang disebut slat ketika cuba membersihkan tumpahan air minuman panas itu daripada merebak.

Akibatnya, slat yang terletak di hujung sayap pesawat berubah sudut, sekali gus menyebabkan pesawat eksekutif buatan Perancis itu tiba-tiba menjunam amat laju, malahan sempat beberapa saat kehilangan tenaga elektrik.
Tomislav Nikolic
Mujur, kapten pilot berjaya menstabilkan posisi pesawat itu dan kembali semula ke ibu kota Serbia, Beograd tetapi mengakibatkan lawatan rasmi Presiden Nicolic ke beberapa negara termasuk ke Vatican City terpaksa dibatalkan.

Terdahulu, pejabat pemimpin Serbia tersebut menyatakan presiden tidak dapat ke luar negara buat masa ini kerana pesawat kerajaan berusia 34 tahun itu yang digunakan mengalami kerosakan dan kerap bermasalah.

Sebagai ganti, Nicolic terpaksa menggunakan pesawat komersial awam jika mahu melakukan kunjungan ke luar negara, manakala pembantu kapten itu dilaporkan telah digantung tugas sementara kerana kecuaian.

Pesawat Falcon 50 tidak lagi dikeluarkan firma Dassault sejak 2008 dan setakat ini hanya terdapat 352 unit model tersebut digunakan pihak tentera udara di 23 buah negara seluruh dunia. – Agensi

Post a Comment