KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan sedang mempertimbangkan dengan terperinci beberapa aspek termasuk ancaman keselamatan yang mungkin dihadapi negara sebelum memutuskan membeli pesawat tempur baru bagi menggantikan MiG-29N Fulcrum yang akan ditamatkan perkhidmatannya hujung tahun 2015.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, semua pihak yang terlibat perlu memberi keyakinan kerajaan mengenai kepentingan membeli aset ketenteraan yang baru itu sebelum cadangan itu dibawa ke dalam RMK-11.
Menurutnya, pembelian itu juga bergantung kepada kemampuan kewangan negara untuk membiayai aset-aset berkenaan selai dari memastikan orang ramai yakin bahawa perkara itu merupakan keperluan bagi ATM.
“Ini pembelian bersyarat, yang pertama bergantung kepada kemampuan kita untuk membiayainya. Kedua, apa juga aset kita beli mestilah bersandarkan kepada ancaman yang dihadapi, jika ancaman asas, kita tidak perlukan jet canggih, jadi kenapa dimasukkan ke dalam RMK-11.
“Ketiga adalah bagaimana kita mahu meyakinkan orang ramai, jadi, tiga perkara ini perlu dipenuhi sebelum saya sebagai menteri akan memperjuangkannya dibawa ke RMK-11, tetapi kita sedang berunding, kalau beli sekarang pun penghantarannya memerlukan beberapa tahun” katanya.
Dalam LIMA 2015 bulan lalu, Malaysia menerima tawaran dari beberapa negara pengeluar pesawat tempur untuk digantikan dengan MiG-29N Fulcrum.
Sementara itu pengguna media sosial di negara ini memberikan reaksi negatif. Kata mereka, kerajaan tidak wajar berbelanja besar di waktu ekonomi negara tidak stabil, meskipun untuk keselamatan negara.Kredit
Post a Comment