ENDANG menunjukkan gambar dan sijil kahwinnya dengan Redi.
Solo – Seorang wanita membuat laporan polis semalam kerana mendakwa ditipu suaminya, Redi Eko Saputra selepas lelaki itu merancang untuk berkahwin dengan janda anak dua, Wina Lia.
Endang Titien Wapriyustia, 50, mendakwa Redi tidak pernah memberi nafkah dan memungkiri janji untuk membeli rumah mewah dan kereta yang dibuatnya sebelum mereka berkahwin.
“Saya serius membela hak saya sebagai perempuan dan isteri yang disakiti suami yang mahu bernikah dengan wanita lain,” katanya.
Ujarnya, dia membuat laporan di Unit Perlindungan Perempuan dan Anak bagi menuntut Redi, 46, menunaikan tanggungjawab sebagai suami dengan memberi nafkah kepadanya.
Endang juga menuntut Redi yang berkahwin dengannya pada 8 Mac tahun lalu supaya menepati janji membeli rumah mewah dan kereta untuknya serta anaknya.
“Redi hanya memberi saya wang sebelum berkahwin dan itu untuk majlis perkahwinan kami.
“Wang perbelanjaan setiap bulan tidak pernah diberi suami saya,” jelasnya.
Menurutnya, dia kecewa dengan sikap Redi yang mengaku duda dan mahu berkahwin dengan Wina, 40, selepas merancang membeli rumah wanita itu.
Wina popular di laman sosial selepas membuat iklan ‘beli rumah dapat berkahwin dengan tuan rumah.’
Sementara itu, ketua Unit Perlindungan Perempuan dan Anak polis Solo, Hastin Marhadjanti berkata, Endang turut menyerahkan bahan bukti termasuk buku nikah dan gambar perkahwinan.
“Kes ini disiasat mengikut undang-undang kekerasan rumah tangga yang membawa hukuman penjara tiga tahun,” katanya.– Agensi/myMetro Online
Post a Comment