KASTAM MELARANG GUNA SLOGAN KELIRU"GST KAMI TANGGUNG"

PUTRAJAYA – Peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dilarang menggunakan slogan ‘GST Kami Tanggung‘ untuk menarik perhatian pengguna kerana keadaan tersebut sebenarnya boleh mengelirukan orang ramai.

Ini termasuk juga pelbagai slogan lain dengan maksud lebih kurang sama seperti ‘Anda Beli Kami Tanggung‘, ‘Harga Tak Naik‘ atau ‘GST Kami Bayar‘ yang tidak dibenarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pengarah GST JKDM, Datuk T. Subromaniam berkata, penggunaan slogan itu perlu dielakkan kerana GST merupakan cukai kepenggunaan yang memang perlu dikenakan atas barang dan perkhidmatan yang dijual.

“Slogan ini akan mengelirukan pengguna apabila membeli barang di kedai yang mengiklan contohnya GST Kami Tanggung, padahal perkataan GST itu tetap pula tertera pada resit,” katanya pada sidang media Jumaat.
Beliau berkata, sekiranya GST tidak ditunjukkan pada resit pula, keadaan itu akan menyebabkan pembeli yang merupakan peniaga berkenaan tidak boleh menuntut bayaran balik cukai input daripada pihak JKDM.

Menurut Subramaniam, penggunaan slogan berkenaan turut memberi gambaran kurang tepat mengenai pelaksanaan GST kepada pihak pelabur tempatan dan asing yang ingin membuka perniagaan di negara ini.

“Amalan slogan seperti ini akan menyebabkan pelabur tersebut keliru apabila beranggapan bahawa GST perlu diserap oleh pihak peniaga sendiri, sekali gus akan menambah kos perniagaan mereka pula,” jelas beliau.

Menurutnya, premis perniagaan dan PBT yang mencetak slogan tersebut dalam bentuk kain rentang atau poster dinasihatkan untuk menurunkan bahan kempen berkenaan dengan segera. – Agensi/H.A.AMREE

Post a Comment