KUALA LUMPUR - Bermula pada bulan September ini, semua premis termasuk rumah wajib mengasingkan sampah sisa pepejal.
Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique(gambar kecil) berkata, perkara tersebut juga diwajibkan untuk kediaman bertingkat seperti kondominium dan rumah pangsa.
Sekiranya gagal berbuat demikian, pemilik premis akan dikenakan tindakan undang-undang.
"Pelaksanaan ini akan bermula pada 1 September hingga Disember tahun ini. Manakala bermula Januari 2016, penguatkuasaan yang lebih menyeluruh akan dilaksanakan.
"Pengasingan sisa di rumah dan premis ini akan melibatkan pelaksanaan undang-undang di mana tindakan awal akan dikenakan kepada orang awam yang gagal membuat pengasingan sisa," katanya memetik laporan dari Sinar Harian.
Selain itu beliau juga berkata tong sampah akan disediakan oleh pihak syarikat konsesi dan sampah-sampah tersebut akan dikutip setiap dua kali seminggu.
"Bagi sisa yang boleh di kitar semula, sisa tersebut perlu diasingkan dan dimasukkan ke dalam bekas yang sesuai atau plastik sampah. Bagi sisa kertas, premis digalakkan menggunakan plastik biru. Bagi sisa plastik, premis digalakkan guna plastik berwarna putih.
"Sisa kitar semula yang lain seperti kaca, sisa elektronik, tin aluminium dan lain-lain digalakkan untuk menggunakan plastik berwarna hijau. Sisa pukal seperti perabot dan peralatan elektrik perlu diletakkan di bahu jalan di hadapan rumah pada hari kutipan, manakala sisa taman dan kebun perlu diikat dengan plastik yang sesuai," kata beliau lagi. - Siakapkeli.my
Post a Comment