PENJAWAT AWAM BAKAL DIPOTONG GAJI UNTUK BAYAR PTPTN??

KUANTAN – Langkah memotong gaji mandatori penjawat awam yang ‘liat’ membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya akan dilakukan sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan masalah itu, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama ketua setiausaha setiap jabatan Rabu ini bagi membincangkan masalah yang melibatkan kira kira 33,000 penjawat awam dan langkah terbaik bagi mengatasinya.

“Kita akan bermesyuarat bagi melihat apakah masalah mereka (peminjam) dan kenapa mereka liat untuk membawa hutang PTPTN.

“Jika kita tak jumpa jalannya, baru kita buat keputusan agar potongan gaji dikenakan kepada penjawat awam yang berhutang dengan PTPTN,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan.

Dilaporkan lebih 33,000 penjawat awam termasuk penyandang pelbagai jawatan kanan tidak pernah langsung membayar pinjaman PTPTN mereka.

Jumlah itu dilapor mewakili 12 peratus daripada keseluruhan lebih 280,000 kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman PTPTN.

Ali berkata tidak semua penjawat awam dari jumlah terbabit tidak membayar balik hutang PTPTN mereka, malah tidak ada dari kalangan mereka yang diisytiharkan muflis.

“Cuma ada di antara mereka yang hanya bayar sekali sekala.Tidak eloklah kalau bayar sekali sekali, jadi kita harap akan ada jalan penyelesaiannya selepas mesyuarat itu nanti,” katanya. – BERNAMA

Post a Comment