Roti Canai dengan kari ayam berharga 10 Euro (RM40.70), epok-epok kambing juga 10 Euro manakala tiga cucuk sate dan bebola ikan masing-masing 6 Euro (RM24.42).
Hampir terjegil biji mata penulis melihatkan tanda harga yang terpapar pada gerai menjual makanan di Pavilion Malaysia yang dibuka sempena Milano Expo 2015 di Milan, Itali, baru-baru ini.
“Biar betul.. Adakah orang sanggup berhabis RM40 untuk sekeping roti canai dan kari ayam kering,” ngomel penulis dan beberapa teman media dalam nada skeptikal ketika melangkah masuk ke tapak pameran Malaysia yang agak tersorok di celah-celah binaan 147 negara lain yang turut serta dalam ekspo berprestij dunia ini.
Dan jawapannya; memang ada!
Melintasi sekali lagi gerai Malaysia tidak sampai tiga jam kemudian, segala roti canai, bebola ikan dan epok-epok kambing yang diisi di dalam mangkuk pakai buang yang disusun bertingkat-tingkat tadi hampir lesai dibeli oleh para pengunjung yang rata-ratanya orang Itali dari Milan dan wilayah sekitar.
Penulis sempat melihat bagaimana berseleranya mereka menikmati juadah tradisi negara kita itu, yang mungkin juga pertama kali dirasai.
Dengan jangkaan 20 juta pengunjung melawat tapak ekspo dunia itu manakala Pavilion Malaysia sahaja menyasarkan kira-kira 1.8 juta pelawat, bayangkan berapa banyak kutipan hasil jualan makanan tradisi rakyat Malaysia itu sepanjang enam bulan Expo Milano 2015 berlangsung?
Pendek kata, potensi untuk pasaran makanan tempatan negara kita ada di luar sana termasuk di Eropah. Pokok pangkalnya adakah kita bersedia untuk meneroka peluang yang ada?
Pavilion Malaysia di Milan ini memang dibuka dengan matlamat mempromosikan keselamatan dan teknologi makanan selaras tema ekspo, Ke Arah Kelestarian Ekosistem Makanan, namun tidak salah tapak pameran ini menjadi serampang dua mata memperkenalkan keunikan dan keenakan juadah tradisi kita kepada masyarakat dunia sehingga mampu diangkat sebagai makanan yang menepati selera antarabangsa.
Sebagaimana orang Itali berjaya mengantarabangsakan piza dan pasta mereka, tidak mustahil roti canai, sate dan nasi lemak kita juga akan mendapat pengiktirafan yang sama.
Lebih-lebih lagi Malaysia memang terkenal dengan jolokan ‘syurga makanan dunia’.
Melihatkan pengunjung Eropah berbaris panjang untuk memasuki ruang pameran negara-negara yang mengambil bahagian termasuk Pavilion Malaysia, harapan untuk produk negara kita bersaing di pasaran dunia kelihatannya cukup cerah.
Mungkin ramai yang meragui keperluan dan kepentingan menyertai ekspo dan pameran antarabangsa terutama di luar negara.
Ramai juga yang sering menganggapnya sebagai membazir atau membuang duit sahaja.
Hakikatnya, tak kenal maka tak cinta.
Bagaimana kita hendak mengharapkan orang asing menyukai produk kita, makanan kita, kebudayaan kita, jika kita tidak memperkenalkannya kepada mereka?
Justeru inilah yang dilakukan oleh Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), wakil Kedutaan Malaysia di Rom, Itali, di samping Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan.
Dan penulis cukup merasakan kesungguhan petugas-petugas negara kita mempromosikan produk buatan Malaysia.
Selain makanan tempatan, produk kelapa sawit khususnya minyak sawit juga perlahan-lahan diterima penduduk Eropah yang mula menyedari khasiatnya di sebalik kempen memburuk-burukkannya oleh produk pesaing dari benua itu.
Pencapaian paling membanggakan yang dicatatkan pada Expo Milano 2015 ini ialah apabila binaan Pavilion Malaysia seluas 2,047 meter persegi dibuat daripada Glulam iaitu produk kayu berlamina hasil teknologi tempatan – pertama kalinya dibenarkan memasuki Eropah, setelah sekian lama ‘dihalang’ menembusi benua yang terawal mengecap kemajuan itu.
Kunjungan ke Milan bagi meliputi lawatan kerja rasmi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuka mata penulis terhadap peluang dan potensi perniagaan yang terbentang luas untuk direbut oleh rakyat Malaysia di luar sana.
Kerajaan melalui MITI, Matrade, kedutaan Malaysia di luar negara dan banyak lagi agensi sentiasa berusaha membantu dengan menyediakan platform untuk usahawan dari negara kita mengembangkan sayap perniagaan mereka.
Pavilion Malaysia di Milan yang akan dibuka sehingga Oktober ini misalnya mempelawa syarikat-syarikat tempatan termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) yang berminat untuk turut serta.
Pucuk pangkalnya terletak pada kita. Mahu terbang tinggi atau selesa duduk bertenggek di laman sendiri sahaja?
Sekadar berpuas hati menjual roti canai RM1 sekeping di Kampung Terachi, Kuala Pilah atau melipatgandakan untung dengan ‘menebarnya’ RM40 sepinggan di kota fesyen Milan?KREDIT
Post a Comment