GST:HARGA KERETA HONDA,TOYOTA DAN PROTON TURUN

KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta gergasi dari Jepun iaitu Honda dan Toyota telah mengumumkan berlaku penurunan harga kereta dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) diantara RM500 hingga RM4,000 mengikut model.

Melalui Honda Malaysia, pengurangan kadar harga baru kereta keluaran mereka sebanyak RM500 sehingga RM2,500 sebuah bagi model-model pemasangan tempatan (CKD) keluarannya manakala UMW Toyota pula mengisytiharkan penurunan sehingga RM4,000 mengikut model.

Selain dua pengeluar kereta tersebut, pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton turut mengumumkan penurunan harga sehingga RM1,475 atau 3.25 peratus ke atas model-model keluarannya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno berkata, antara model CKD yang mengalami penurunan harga termasuklah Jazz, City, Civic, CR-V, Accord dan HR-V.

“Secara keseluruhannya penjimatan daripada pelaksanaan GST akan diberikan kepada para pelanggan melalui penurunan harga model-model CKD.

“Namun begitu, berdasarkan kepada pengiraan GST import, harga bagi model Odyssey yang merupakan model import sepenuhnya (CBU) dijangka mengalami sedikit kenaikan di antara RM500 hingga RM1,000,” katanya pada majlis meraikan media di sini kelmarin
Selian harga kereta, peralatan alat ganti juga turut berlaku penurunan sebanyak 3.7 peratus bagi semua model.

“Bagaimanapun GST akan ditambah ke dalam kos buruh, tetapi memandangkan harga alat ganti telah dikurangkan, kami menganggarkan kos keseluruhan penyelenggaraan akan turun sebanyak dua hingga empat peratus bergantung kepada model,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden UWM Toyota Motor, Datuk Ismet Suki berkata, pihak syarikat akan menyalurkan 100 peratus kos penjimatan GST kepada pelanggan semasa pembelian mana-mana model Toyota dan Lexus.

“Pembeli kereta di seluruh negara telah membuat spekulasi bagaimana pelaksanaan GST akan menjejaskan harga jualan kereta dan kami di Toyota menafikan salah tanggapan ini, dan akan terus menawarkan penjimatan kepada para pelanggan,” katanya juga semalam.

Tambahnya, di bawah rejim GST, terdapat implikasi berbeza kepada perniagaan dalam pelbagai bidang daripada pengiraan cukai, pemungutan, pemulangan, penyatuan kepada penyediaan kos, berbanding kepada sistem sedia Cukai Jualan dan Perkhidmatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, harga baru di atas jalan raya tersebut meliputi model Saga, Persona, Inspira, Satria Neo, Exora, Preve, Suprima S dan Iriz.

“Pelanggan kini bukan sahaja berpeluang membeli kenderaan yang memberi lebih nilai bagi wang bahkan memiliki sebuah kenderaan yang telah ditambah baik dari segi kualiti dan ciri-ciri keselamatan.

“Sebagai contoh pengguna kini mampu memiliki Proton Saga dengan harga serendah RM33,242.40 atau Preve 1.6L Turbo pada harga RM61,023.46 termasuk cukai GST enam peratus,” jelasnya. - Siakapkeli.com.my

Post a Comment